Lukaku, Ronaldo bayangi kepulangan Ibrahimovic


shadow

MILAN: Romelu Lukaku meledak dua kali bagi membantu Inter Milan kekal di puncak Serie A dengan kemenangan 3-1 ke atas Napoli, sambil memberi tekanan ke atas Juventus yang sebelum itu membelasah Cagliari 4-0 dengan hatrik pertama Cristiano Ronaldo di liga Itali.

Inter kendalian Antonio Conte menamatkan penantian 23 tahun untuk kemenangan liga di Naples dan kekal di tangga teratas, menyamai kutipan mata Juventus selepas 18 perlawanan tetapi mempunyai kelebihan perbezaan jaringan.

Lazio di tangga ketiga, enam mata ketinggalan dengan satu perlawanan di tangan, selepas melebarkan deretan kemenangan liga kepada sembilan perlawanan susulan keputusan 2-1 menentang Brescia.

“Ia kemenangan penting, menang di Napoli bukan perkara mudah,” kata Conte yang merakam kemenangan ke-100 Serie A sebagai pengendali tetapi yang pertama di Naples.

PEMAIN Inter Milan, Romelu Lukaku meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Napoli pada aksi Serie A di Stadium San Paolo. – Foto AFP

“Napoli berada di belakang Juventus sejak beberapa tahun kebelakangan ini manakala Inter jauh di belakang. Tahun ini kami merapatkan jurang itu.”

Ketiga-tiga gol Inter hadir hasil kesilapan Napoli – naib juara dua musim sebelum ini tetapi berada di tangga kelapan pada kempen kali ini.

Lukaku meletakkan Inter di depan pada minit ke-14 dan 33, dan penyerang Poland Arkadiusz Milik merapatkan jurang buat Napoli empat minit sebelum rehat.

Bagaimanapun Lautaro Martinez memastikan kemenangan buat Inter di awal babak kedua.

“Kami melakukan banyak kesilapan dan menjaringkan tiga gol sendiri,” kata pengendali Napoli Gennaro Gattuso.

PEMAIN Juventus, Cristiano Ronaldo beraksi dalam perlawanan menentang Cagliari pada aksi Serie A di Stadium Allianz. – Foto AFP

Di Turin, Ronaldo menemui sasaran dalam lima perlawanan liga berturut-turut ketika mencetus kebangkitan juara bertahan itu daripada kekalahan Piala Super Itali di tangan Lazio.

Ronaldo dan Lukaku bergabung meledak lima gol bagi membayangi kepulangan Zlatan Ibrahimovic ke AC Milan yang seri tanpa jaringan menentang Sampdoria. – AFP

PEMAIN Juventus, Cristiano Ronaldo meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Cagliari pada aksi Serie A di Stadium Allianz. – Foto AFP

Tinggalkan komen anda