Real juara Piala Super Sepanyol


shadow

JEDDAH: Thibaut Courtois muncul wira Real Madrid ketika menewaskan tetangga Atletico Madrid dalam penentuan penalti Piala Super Sepanyol untuk memenangi trofi ke-11 mereka di kejohanan itu.

Courtois dan Jan Oblak masing-masing beraksi cemerlang untuk memastikan gawang tidak dibolosi sepanjang tempoh permainan sebenar, tetapi penjaga gol Belgium itu selangkah di depan apabila menyelamatkan penalti Thomas Partey selepas percubaan Saul Niguez terkena tiang.

Sergio Ramos menyempurnakan penalti kemenangan untuk trofi pertama Real musim ini, dengan La Liga dan Liga Juara-Juara menjadi sasaran seterusnya.

“Saya meneliti pemain mereka ketika di bangku simpanan,” kata Courtois. “Saul mengejutkan saya tetapi Thomas sudah saya jangka, dan sepakannya amat padu.”

Atletico berpeluang memenangi final berkenaan dalam masa tambahan apabila Alvaro Morata berdepan satu lawan satu tetapi pemain Real Federico Valverde berkorban menerima kad merah kerana menjatuhkan pemain itu dari belakang.

PEMAIN Real Madrid, Sergio Ramos menyempurnakan penalti dalam perlawanan menentang Atletico Madrid pada aksi Piala Super Sepanyol di Jeddah. – Foto AFP

“Ia sesuatu yang anda tidak patut lakukan dan saya meminta maaf kepada Alvaro tetapi ia satu-satunya pilihan yang saya ada,” kata Valverde.

Bagi pengendali Atletico Diego Simeone, ia adalah saat penting buat pasukannya pada perlawanan itu.

“Jika dia lolos sudah pasti ia berakhir dengan jaringan tetapi saya memberitahunya sesiapa saja akan melakukan perkara sama jika berada pada situasi itu,” kata Simeone.

Kemenangan itu mengekalkan rekod bersih Zinedine Zidane dalam aksi final di mana dia membimbing Madrid menjuarai Liga Juara-Juara, dua kali di Piala Dunia Kelab dan Piala Super UEFA dan sekarang untuk Piala Super Sepanyol.

“Sudah banyak saya menangi sebagai pemain dan kini sebagai jurulatih,” kata Zidane. “Tetapi saya ucapkan tahniah buat pemain-pemain. Anda boleh capai apa saja jika berusaha keras.” – AFP

PEMAIN Real Madrid meraikan kemenangan selepas menewaskan Atletico Madrid dalam penentuan penalti Piala Super Sepanyol di Jeddah. – Foto AFP

Tinggalkan komen anda