Solskjaer akui tindakannya ‘memakan diri’


shadow

MANCHESTER, United Kingdom: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui keputusannya memasukkan Marcus Rashford selaku pemain gantian babak kedua “memakan diri” walaupun pasukannya mara ke pusingan keempat Piala FA selepas kemenangan 1-0 mengatasi Wolves.

Rashford bertahan kurang 15 minit di padang kerana kecederaan belakang dan kini tidak pasti akan bermain menentang pendahulu Liverpool di tempat lawan dalam Liga Perdana, awal pagi Isnin depan.

Jaringan tunggal Juan Mata memastikan United akan berkunjung sama ada ke Watford atau Tranmere pada 26 Januari ini.

“Ia memakan diri, tapi anda perlu melakukannya,” kata Solskjaer kepada BT Sport.

“Dia berlanggar dan tidak boleh berlari. Kita akan lihat untuk Ahad ini dan bagaimana keadaannya.

“Dia beberapa kali berlanggar di bahagian belakangnya dan kini kena sekali lagi.”

Wolves menyingkirkan United pada Piala FA musim lalu dan tidak tewas dalam lima perlawanan antara mereka sejak kembali ke liga utama pada 2018.

“Kami gembira akhirnya dapat menewaskan Wolves,” kata Solskjaer. “Kami ada beberapa peluang bagus.” – AFP

Tinggalkan komen anda