Watford masuk zon selamat


shadow

LONDON: Kapten Watford Troy Deeney mengagumi impak dijelmakan pengendali pasukan Nigel Pearson yang membantu mereka melonjak keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris buat kali pertama musim ini susulan kemenangan 3-0 di Bournemouth.

Abdoulaye Doucoure dan Roberto Pereyra turut menemui sasaran di samping gol keempat Deeney dalam lima perlawanan.

Pengendali dan pemain-pemain perlu diberi pujian atas usaha ini,” kata Deeney. “Kami di tangga tercorot pada satu ketika musim ini tetapi mampu meraih sokongan peminat dan bekerja keras di atas padang.”

Bournemouth yang sudah lima musim di dalam kancah liga tertinggi Inggeris itu kini di ambang bahaya selepas mengutip hanya empat mata daripada 11 perlawanan terakhir untuk menghuni tangga kedua tercorot.

PEMAIN Watford, Troy Deeney meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality. – Foto Reuters

Watford sebaliknya semakin mantap di bawah bekas pengendali Leicester Pearson yang mengumpul 13 daripada 15 mata ditawarkan sejak kekalahan 2-0 di Liverpool bulan lalu.

“Kami menemui cara untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi mendapatkan apa yang kami mahu, persembahan dan keputusan. Kami menunjukkan keazaman, pemahaman permainan dan keupayaan,” kata Pearson.

Kecederaan memainkan peranan dalam kemerosotan prestasi Bournemouth dan kehilangan penjaga gol utama Aaron Ramsdale memberi kesan dengan penggantinya Mark Travers menjadi punca mereka dibolosi gol pertama.

“Gol pertama membawa perubahan besar, sebelum itu kedua-dua pasukan seimbang,” kata pengendali Bournemouth Eddie Howe. – AFP 

PEMAIN Watford, Roberto Pereyra meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality. – Foto Reuters

Tinggalkan komen anda