Siapa Peja Sebenarnya……………………….


shadow

Saya menulis surat ini sebagai respon kepada kolum penulis bernama D Raj semalam, yang bertajuk “ New Sports Minister must use more than his noodle” di laman Free Malaysia Today.

Sebagai seorang Perak Ultra, saya ingin menjelaskan beberapa perenggan yang ditulis, terutama membabitkan pengendalian & pengurusan kewangan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika menjadi Pengerusi bagi tempoh 30 bulan sebelum ini.

Sekiranya penulis membuat kajian fakta menerusi pihak Perak FA atau peminat bola sepak di negeri berkenaan, penulis pastinya menyedari bahawa ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal telah menjalankan tanggungjawab untuk membayar gaji pemain dan wakil pasukan tepat pada waktunya, dengan jumlah sekitar RM2 juta setiap bulan.

Ia bermakna lebih daripada RM50 juta telah dilunaskan sepanjang tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Faizal. Selain, tiada juga sebarang isu termasuk boikot membabitkan pemain yang enggan berlatih atau meninggalkan pasukan, masalah kewangan atau ketidakpuasan hati oleh mana-mana pihak berkaitan.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya juga, Datuk Seri Ahmad Faizal telah menegaskan sebarang pengurusan kewangan pasukan tidak menggunakan dana kerajaan negeri, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pihak penaja. Namun setelah beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak dan Pengerusi Perak FA, usaha pengumpulan dana pasukan didapati semakin berkurangan.

Sejak perletakan jawatan itu hampir 8 bulan yang lalu, difahamkan Menteri Besar Perak yang baharu hanya memperuntukkan RM4 juta dana negeri kepada pasukan bagi tujuan pembayaran gaji serta tiada usaha untuk mengumpulkan wang melalui penajaan. Justeru itu, tidak hairan bagaimana gaji pemain tidak dapat dibayar ketika ini, dengan tanggungjawab seharusnya digalas baik oleh pihak pengurusan sedia ada.

Menyalahkan Datuk Seri Ahmad Faizal terhadap segala kepincangan yang berlaku ketika ini, adalah tidak wajar dan etika kewartawanan penulis wajar dipertikaikan kerana dianggap tidak mempunyai asas fakta yang kukuh tanpa mendapatkan gambaran lebih jelas daripada pihak berkaitan, termasuk peminat bola sepak di Perak secara umumnya, berhubung situasi semasa pasukan.

Yang benar,
Perak Ultra 39

Tinggalkan komen anda