Ya, Saya Silap: Ahmad Faizal Azumu


shadow

 ‘Saya minta maaf atas kekhilafan, saya telah belajar dari kesilapan itu.

Demikian jelas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang media pertamanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara, hari ini.

“Hari ini saya mengangkat sumpah sebagai Menteri KBS dan saya perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dikatakan secara terbuka.

“Ya, itu memang kekhilafan saya, saya perlu mengaku dan muhasabah diri agar perkara yang sama tidak akan berlaku lagi. Apa yang saya katakan itu merupakan kekhilafan, kesilapan dan kurang cerdik.

Ahmad Faizal dalam masa yang sama, turut mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Presiden FAM dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Jelasnya, beliau faham bahawa perkara itu tidak seharusnya disebut dan disebabkan kesilapan itu, ia telah mengakibatkan satu perdebatan di sosial media.

“Saya juga ingin memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Alhamdulilah, saya telah belajar dari kesilapan itu, hari ini saya mengangkat sumpah sebagai Menteri KBS dan saya perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dikatakan secara terbuka,” katanya.

Tambah lagi, selepas ini, beliau akan memberi fokus kepada  usaha-usaha untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam satu video yang tular di laman sosial antara lain, mendakwa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sedang mempertimbangkan untuk membuka saingan Liga Super pada musim depan kepada 16 pasukan berbanding 12 pasukan ketika ini.

Video yang tular di media sosial itu dipercayai telah mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan netizen yang mendakwa Ahmad Faizal memberi bayangan pasukan Bola Sepak Perak atau lebih dikenali sebagai The Bos Gaurus berkemungkinan akan terus kekal beraksi dalam Liga Super.

Tinggalkan komen anda