Bapa rogol anak dihukum penjara 45 tahun dan 24 sebatan


shadow

PUTRAJAYA – Tindakan seorang bapa durjana yang melakukan serangan seksual terhadap anak kandungnya sejak dua tahun lalu terbalas apabila Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 45 tahun dan disebat 24 sebatan.

Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga burger selepas dia mengaku bersalah ke atas 38 pertuduhan mencabul, melakukan seks luar tabii dan cuba merogol mangsa yang berusia 14 tahun.

Hukuman pemenjaraan itu dijalankan bermula dari tarikh tangkap iaitu 12 Julai lalu.

Dalam keputusannya, Yong Zarida turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selama 10 tahun dan tiga tahun pengawasan polis selepas selesai hukuman penjara kelak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang berusia 35 tahun itu mengaku terhadap 26 pertuduhan mencabul anaknya setiap bulan bermula Julai 2017 hingga Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Dia juga mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan melakukan seks luar tabii dengan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa dan turut memasukkan jarinya ke dalam dubur anak sulungnya itu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 377C A Kanun Keseksaan.

Bapa kepada lima anak itu juga mengaku terhadap empat cubaan merogol mangsa.

Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukannya tanpa kerelaan mangsa di sebuah unit pangsapuri, sebuah rumah, di dalam sebuah kereta Proton Waja dan di sebuah bilik hotel di Puncak Alam, Selangor antara jam 2 dan 5 pagi pada Julai 2017 sehingga Julai lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlina Razali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana telah memecah amanah yang sepatutnya dilakukan lelaki itu sebagai bapa.

“Selain itu, mangsa terpaksa bergelut untuk mempertahankan diri daripada dirogol bapanya,” katanya.

Menurutnya, mangsa juga tertekan sehingga beberapa kali mengambil tindakan untuk membunuh diri.

“Mangsa cuba mengelar pergelangan tangannya untuk membunuh diri.

“Dalam laporan mendedahkan dia telah diperlakukan sebegitu sejak berumur 12 tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, keinsafan yang dinyatakan tertuduh tidak wajar dipertimbangkan mahkamah.

“Ini kerana pada Oktober 2018, mangsa telah mengadu kepada ibunya mengenai tindakan bapanya dan tertuduh berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, namun dia tetap mengulanginya sehingga Julai lalu,” katanya.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan, pada 7 Julai 2017, ketika mangsa sedang tidur tertuduh telah menghimpitnya dan cuba merogolnya namun tidak berjaya.

Tertuduh kemudiannya memaksa mangsa menghisap kemaluannya namun ditolak sebelum lelaki berkenaan terus mencabul dan memancutkan air mani ke muka anaknya.

Mangsa mengakui dia diperlakukan sedemikian sejak umur 12 tahun ketika ahli keluarga yang lain tidur dan tiada di rumah.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh yang memakai baju T berwarna ungu itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mempunyai tiga anak bersekolah dan dua masih kecil.

“Saya bekerja sendiri menjual burger dengan pendapatan RM90 sehari dan isteri tidak bekerja. Saya insaf,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda