Enam ahli Geng Ah Heng dicekup


shadow

GEORGETOWN – Enam lelaki dari kumpulan Geng Ah Heng ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri kereta sekitar negeri ini, 18 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, kesemua lelaki berusia sekitar 20 hingga 60-an itu ditahan sekitar Alor Setar dan Changlun, Kedah.

Menurutnya, penahanan ahli sindiket itu susulan daripada laporan dibuat seorang wanita berhubung kehilangan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Tingkat Perusahaan 6, Zon Perindustrian Bebas 2, Perai pada 26 April lalu.

“Selepas menerima laporan tersebut, polis melancarkan Ops Lejang Industri bagi mengesan dan membuat risikan ke atas kehilangan kereta tersebut selain tujuh kes curi kereta yang lain. Hasilnya, kita berjaya menahan enam lelaki dan merampas enam kereta.

“Lima daripadanya dipercayai kereta curi iaitu masing-masing sebuah Toyota Hilux, SUV Honda CRV, Honda City dan dua buah Honda Civic. Sebuah kereta lagi adalah Toyota Estima dipercayai milik dalang sindiket ini yang berusia 40-an,” katanya pada sidang media tadi.

Zainol (empat, kanan) menunjukkan kereta yang dirampas dari sindiket curi kereta.
Tambahnya, kesemua nilai rampasan berjumlah RM530,000 yang mana kesemua kereta itu merupakan kes kehilangan kereta yang dilaporkan di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah (SPT).

“Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan 18 kes kecurian kenderaan bermula Januari hingga Julai tahun ini iaitu 14 kes di SPT dan empat di Barat Daya. Kebanyakan suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap, dan ada antaranya bekerja sebagai tukang cat kereta.

“Mereka juga merupakan orang tengah dalam urusan jual beli kenderaan yang dicuri untuk dijual kepada pembeli di selatan Thailand iaitu Danok dan Bukit Kayu Hitam dengan anggaran harga jualan RM20,000 mengikut jenis. Dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Zainol berkata, sindiket itu mampu mencuri sebuah kenderaan kurang daripada 10 minit dan mensasarkan zon perindustrian untuk menjalankan kegiatan tersebut.

“Geng ini menjalankan kegiatan mencuri kereta pada sebelah siang dan mensasarkan zon perindustrian kerana pada waktu itu, ramai pekerja meletakkan kenderaan mereka di tempat parkir. Mereka ada kepakaran untuk mematikan sistem keselamatan kereta selain menyasarkan kereta baharu.

“Modus operandi geng ini adalah menyasarkan kenderaan yang menggunakan sistem butang ‘push to start’ dan mematikan sistem itu menggunakan alat khas iaitu ‘jammer’. Dalam masa seminit, mereka mampu membuka pintu kereta dan berjaya membawa lari dalam tempoh kurang 10 minit,” katanya.

Jelasnya, polis turut merampas beberapa peralatan mencuri kereta ketika penahanan kesemua suspek.

“Polis turut merampas cukai jalan palsu, beberapa keping nombor plat, master key, kad Touch & Go, komputer riba dan pencetak. Geng ini dipercayai mula aktif sejak Januari lalu.

“Kesemua direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda