Jual minuman keras tidak bercukai


shadow

KOTA TINGGI – Seorang lelaki warganegara India ditahan petang semalam selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan penjualan minuman keras tidak bercukai.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi diketuai Inspektor P Devendiran telah membuat serbuan di sebuah kedai di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar.

Menurutnya, tangkapan melibatkan seorang lelaki warganegara India berumur 29 tahun di mana hasil dan pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenis minuman keras yang tidak bercukai diletakan di bahagian susunan rak kedai di dalam premis berkenaan.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan minuman keras iaitu 100 botol dan 189 tin adalah RM8,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, suspek dan barang-barang rampasan telah dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 di mana boleh dikenakan denda tidak lebih daripada 10 kali ganda amaun duti kastam dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti kastam atau penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua‐duanya kerana memiliki minuman keras tanpa cukai kastam.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

“Tangkapan ini adalah usaha polis Kota Tinggi untuk membanteras kejadian di mana sebelum ini ada mangsa meninggal akibat minum arak haram dengan kandungan metanol yang melebihi paras dibenarkan walaupun belum ada kes seumpama di daerah ini,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda