Lelaki dilanggar kereta selepas ragut remaja


shadow

BUKIT MERTAJAM – Seorang peragut bernasib malang apabila dilanggar kereta ketika melarikan diri selepas meragut seorang remaja dalam kejadian di Jalan Aston, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.10 malam itu, mangsa berusia 19 tahun dalam perjalanan mahu membeli makanan di kedai kopi berhampiran.

Suspek yang cedera dirawat di Hospital Bukit Mertajam dan akan direman tujuh hari untuk siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa yang berjalan seorang diri tiba-tiba didatangi suspek yang sedang berbaring di kaki lima kedai kopi tersebut.

“Suspek kemudian bangun dan terus memaut leher mangsa menggunakan tangan kirinya, manakala tangan kanannya menarik beg tangan mangsa yang diletakkan di bahu kanan. Mangsa menjerit meminta tolong dan lelaki tersebut terus melarikan diri.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu cuba mengejar suspek dan mendapati suspek mencampakkan beg tangan mangsa di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berikutan itu katanya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM650 termasuk sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM50.

Mangsa disamun suspek ketika sedang berjalan kaki hendak membeli makanan.
Nik Ros Azhan berkata, suspek yang panik kemudian melarikan diri, namun malangnya telah dilanggar sebuah kereta ketika sedang melintas jalan.

“Suspek berusia 39 tahun yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.

“Dia yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan disahkan mengalami kecederaan akibat kemalangan dan akan ditahan di wad,” katanya.

Katanya, suspek akan direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda