Lelaki rakyat India ditahan kerana jual arak seludup


shadow

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara India ditahan polis, semalam, kerana menjual arak yang diseludup dari negara jiran di sebuah kedai runcit di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan kira-kira 5 petang ketika berada di premis tersebut selepas polis bertindak atas maklumat dan risikan berhubung penjualan minuman keras terbabit.

“Selain penahanannya, polis turut merampas 100 botol dan 189 tin minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai yang diletakkan di bahagian susunan rak kedai tersebut.

“Kesemua minuman keras terbabit dianggarkan bernilai RM8,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai lelaki tersebut sudah seminggu menjalankan perniagaan tersebut.

Menurutnya, lelaki itu bersama barangan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki minuman keras tanpa cukai kastam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tidak memiliki pasport sah untuk tinggal di negara ini. – Bernama

Tinggalkan komen anda