Najib mengaku RM42 juta daripada SRC masuk akaunnya


shadow

KUALA LUMPUR – Seorang peguam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku dalam saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik bahawa RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Peguam Ranjit Singh, yang bertindak bagi pihak Dr Ling dalam saman itu berkata, bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan itu dalam satu afidavit sebagai respond kepada kenyataan pembelaan yang dikemukakan oleh anak guamnya.

Saksi pendakwaan ke-55 itu berkata demikian semasa pemeriksaan ketua oleh pendakwa ad-hoc Datuk V.Sithambaram pada perbicaraan hari ke-45 Najib berhubung penyelewengan wang RM42 juta milik dana SRC.

Semasa dibaca afidavit Najib, saksi berkata, Najib mengaku dalam afidavit sumpah bahawa wang RM42 juta itu adalah daripada SRC.

“Najib juga berkata antara 24 Disember, 2014 dan 6 Februari, 2015, sejumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaunnya menerusi dua perantara.

“Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak ada pengetahuan peribadi bahawa wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya menerusi dua pengantara iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Semasa satu majlis di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 3 Oktober, 2015, Dr Ling berkata, Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri dan menggesa peletakan jawatannya selepas laporan akhbar yang mendakwa berlaku penyelewengan dana awam.

“Dia (Najib) ambil orang punya duit dan taruk dalam personal account. Mana boleh?….Ini adalah asas bagi pandangan anak guam saya (Dr Ling) bahawa Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia,” kata peguam itu.

Ranjit juga berkata, Najib dalam afidavitnya berhubung saman itu menjawab bahawa AS$700 juta juga dimasukkan ke dalam akaunnya dari satu sumber dari luar negara adalah derma peribadi.

Saksi itu bagaimanapun menjelaskan bahawa Najib menarik balik samannya pada 22 Mei, 2018 beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada 22 Mei, 2018, Najib menarik saman fitnah yang dikemukakan terhadap Dr Ling berhubung satu penerbitan artikel dalam portal berita yang mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu menyalahguna dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah menggugurkan saman Najib tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman itu dan memerintahkan Najib membayar RM25,000 sebagai kos.

Ranjit berkata, Dr Ling juga menarik balik tuntutan balas beliau terhadap Najib pada 14 Dis, 2015 tanpa kebebasan kepada bekas Presiden MCA untuk memfailkan yang baru.

Pada 27 Oktober, Najib dalam kapasiti peribadinya mengemukakan saman terhadap Dr Ling selepas Dr Ling didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap beliau dalam satu artikel yang disiarkan dalam portal baru, pada 3 Okt, 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib berkata, Dr Ling secara salah dan berniat jahat mengeluarkan satu kenyataan fitnah pada satu majlis di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman di sini dengan mendakwa dia (Najib) telah menyalahguna wang awam untuk kepentingan peribadi.

Najib, 66, berhadapan tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes menyalahguna kedudukannya dan tiga kes membabitkan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda