Peniaga nasi lemak mengaku tidak bersalah abai anak


shadow

KANGAR – Seorang peniaga nasi lemak, Zarina Murni Mohd Hashim, 40, mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini terhadap pertuduhan mengabaikan anaknya yang berumur 14 tahun antara 2018 hingga 2019.

Tertuduh yang berasal dari Tanjung Musang, Padang Terap, Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Padang Nyu, Kampung Gial, Arau, dan mohon dibicarakan.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan anak keduanya dan boleh dihukum tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan di samping hukuman tambahan yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin sementara kes itu disebut semula pada 28 Ogos depan.

Peguam Yayasan Biro Bantuan Guaman, Nur Dyiana Syukur bertindak bagi pihak tertuduh manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying.

Seorang remaja berumur 15 tahun pula mengaku bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak itu dengan menggunakan alat pematerian, paip getah dan penyangkut baju plastik di rumah tersebut pada kira-kira jam 6 pagi 1 Julai lepas.

Tuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan (KK).

Mengikut Seksyen 324 KK, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau sebat manakala bagi Seksyen 326A KK ialah penjara dua kali ganda tempoh maksimum hukuman.

Ainul Shahrin menangguhkan keputusan hukuman kanak-kanak itu sehingga Jabatan Kebajikan Masyarakat menyerahkan laporan akhlak tertuduh dan akan disebut semula pada 4 September depan.

Beliau mengarahkan tertuduh dihantar ke penjara juvana Sungai Petani sehingga keputusan dijatuhkan. – Bernama

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda