Penjenayah bertopeng, berparang pecah masuk rumah


shadow

KUALA LANGAT – Sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang memecah masuk sebuah rumah di Bandar Saujana Putra di sini semalam sebelum melarikan barangan berharga bernilai RM30,000.

Dalam kejadian itu, suspek turut bertindak agresif mengikat mangsa di bilik bawah rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian tersebut daripada panggilan Mers 999 pada jam 11.40 malam.

Menurutnya, suspek terdiri daripada enam lelaki dipercayai warga tempatan yang memakai sarung tangan serta bertopeng telah masuk ke rumah mangsa berusia 37 tahun.

“Semasa kejadian, mangsa bersama keluarga dan saudara-maranya berusia 12 hingga 70 tahun berada di rumah.

“Mangsa dan saudaranya kecuali isterinya telah diikat di dalam bilik bawah. Suspek telah membawa naik isteri mangsa ke bilik atas untuk menunjukkan tempat simpanan barang berharga sebelum mengambil barangan dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azizan berkata, suspek kemudian terus melarikan diri dan kesemua mangsa bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa mendapati tiga lelaki bersenjata parang masuk ke dalam rumah, manakala tiga lagi lelaki berada di luar rumah.

Tambahnya, pihaknya memohon kerjasama daripada saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk hadir ke balai berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Shah Razmeer Khan Shah Gzali Khan di talian 0103617250 bagi membantu siasatan.

-Sinar harian

Tinggalkan komen anda