Penyamun kantoi


shadow

TIGA lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun yang disyaki terbabit samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan ditahan polis Jumaat lalu.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 21 tahun ditahan di Kampung Batu 38 dan Taman Bernam Jaya, Sabak Bernam, Selangor pada 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 2.44 pagi hari sama.

Menurutnya, tiga suspek itu melakukan samun di premis berkenaan dengan menggunakan senjata seperti parang dan kayu.

“Dalam kejadian itu, suspek melarikan wang hasil jualan, rokok serta telefon milik pekerja premis dengan kerugian dianggarkan RM1,500.

“Bertindak daripada maklumat itu, hasil risikan dan siasatan yang dijalankan polis menahan tiga lelaki pada 7.45 malam hari sama,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit, sebatang besi, sebilah parang dan 14 kotak rokok pelbagai jenama serta menyita Proton Saga FLX susulan penahanan suspek.

“Ketiga-tiga suspek beralamat di Sabak Bernam, Selangor dan semakan lanjut mendapati dua suspek berusia 20 dan 21 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dadah dan jenayah.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati tiga lelaki terbabit positif methamphetamin,” katanya.

Mohd Marzukhi berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan direman enam hari bermula kelmarin sehingga Khamis ini.

Tinggalkan komen anda