‘Tiada yang sambut saya di pintu lagi’


shadow

KUALA KRAI – “Selepas ini tidak ada lagi wajah cerianya sambut kehadiran saya di pintu,” kata Sdilah Mat, 51, nenek saudara kanak-kanak perempuan, Nur Ramadhiyani Al Hani Roswaman yang maut dalam nahas di KM71.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang malam semalam.

Sdilah berkata, hubungan mereka berdua sangat akrab walaupun dia tinggal di Pasir Puteh manakala arwah tinggal di Kuala Krai.

Menurutnya lagi, setiap kali datang ke Kuala Krai, kanak-kanak itulah yang menyambutnya di pintu seolah-olah sentiasa menanti kunjungannya.

“Sebaik tiba, arwah dah tunggu di pintu, kemudian dia peluk, selepas itu dia urut badan saya kerana katanya perjalanan jauh, meletihkan seolah mengerti keadaan saya.

“Selepas ini pasti saya akan rindu gelagatnya, senyumannya dan kepetahannya berbicara,” katanya menahan sebak.

Katanya, biarpun masih kecil namun kepetahan Nur Ramadhiyani Al Hani menyapa sesiapa sahaja ditemui membuatkan dia disenangi ramai.

Nur Ramadhiyani Al Hani (kanan).
“Arwah akan tegur sesiapa sahaja ditemuinya. Boleh dikatakan hampir tiap hari dia ikut hantar kakaknya ke sekolah, dia turut sempat menyapa guru kakaknya,” katanya.

Sementara itu Sdilah menyifatkan, anak saudaranya, Siti Syafwani Shafei, 27, yang turut menemui ajal dalam nahas semalam merupakan gadis yang baik dan suka menolong orang sehinggalah akhir hayatnya.

“Arwah bekerja di sebuah kedai di bandar Kuala Krai. Beberapa hari lepas ada pekerja baharu masuk kerja.

“Dia bantu, ajak tinggal bersama di rumahnya sebelum gadis berkenaan dapat rumah sewa,” katanya.

Dalam kejadian 10.32 malam semalam, Nur Ramadhiyani Al Hani Roswaman, 3, ibu saudaranya, Siti Syafwani Shafei, 27, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sementara ibunya, Suliza Ab Latiff, 32, serta ibu saudaranya, Inni Syukurna Zakaria, 23, cedera dan dirawat di Hospital Kuala Krai.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda