Tiga dalang samun stesen minyak tumpas


shadow

KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan tiga dalang satu kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Pekan Awah di sini bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nanyan berkata, ketiga-tiganya akan dituduh di Mahkamah Sesyen Temerloh 25 Julai ini di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak berkumpulan.

Pertuduhan turut dibaca bersama seksyen 397 Kanun sama, iaitu rompak bersenjatakan parang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi 29 Jun lalu, dua perompak masuk ke dalam premis berkenaan dan melarikan tunai RM800, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

“Hasil siasatan polis mendapati pada waktu kejadian dua lelaki menaiki kereta jenis Perodua Myvi telah masuk ke kaunter premis berkenaan.

“Salah seorang mengeluarkan parang panjang dan mengacukan ke arah pekerja yang menjaga kaunter di situ manakala seorang lagi lelaki menyuruh mangsa membuka mesin laci wang tunai dan mengambil wang di dalamnya. Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri,” katanya.

Othman berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang berjaya menahan tiga lelaki berkenaan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda