12 kali masuk Malaysia seludup dadah


shadow

SEPANG – Seorang lelaki warga India yang datang ke negara ini sebanyak 12 kali ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas dia didapati cuba menyeludup dadah Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan Cawangan Pemeriksaan Penumpang Kastam KLIA2 sekitar jam 7.20 pagi selepas mendarat dari penerbangan pesawat komersial dari Bangaluru, India.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas beg yang dibawa suspek menemui 87 set papan mencanai roti yang diubah suai dan disorokkan paket plastik lut sinar mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis syabu.

“Berat dadah yang ditemui 12.37 kilogram (kg) dengan anggaran nilai berjumlah RM618,500.

“Siasatan mendapati suspek telah 12 kali datang ke negara ini, walau bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti tujuan dan tempoh waktu dia datang sebelum ini,” katanya pada sidang media di Bangunan FCZ Kargo, KLIA hari ini.

Bungkusan kecil berwarna hitam yang mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis kokain.
Zulkurnain berkata, pada Jumaat lalu, kastam KLIA turut menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup dadah yang dibawa masuk seorang lelaki warga Brazil.

“Suspek berusia 28 tahun ditahan untuk pemeriksaan sebaik mendarat di KLIA dari penerbangan pesawat komersil dari Dubai.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg pakaian yang dibawanya menemui bungkusan ketulan kecil berwarna hitam sebanyak 99 unit yang mengandungi serbuk disyaki kokain.

“Rampasan dadah dianggarkan seberat 1.287kg dan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM257,400.

“Siasatan lanjut mendapati suspek baru kali pertama datang ke negara ini,” katanya.

Zulkurnain berkata, kedua-dua suspek datang ke negara ini menggunakan pas pelancong dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kita juga percaya, dadah ini diseludup masuk untuk pasaran di sini dan bukannya sebagai transit ke negara ketiga,” katanya.

Beliau berkata, masalah sistem KLIA yang tergendala ketika itu tidak menjejaskan operasi pemeriksaan oleh kastam.

Dalam pada itu, Zulkurnain memberitahu, bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kastam KLIA berjaya menggagalkan 38 kes cubaan seludup dadah dengan kuantiti dadah sebanyak 79.420 kg yang nilai keseluruhannya mencecah hampir RM4.659 juta.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda