Abang cederakan adik guna parang dijel tujuh bulan


shadow

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana sengaja mencederakan adiknya dengan sebilah parang.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Shawal [email protected], 34, mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Amirruddin [email protected], 29.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian pinggang sebelah kiri mangsa dengan menggunakan senjata terbabit di belakang kedai runcit Azmizan Enterprise Kampung Banggol, Air Lileh, di sini kira-kira jam 7.15 malam, pada 15 Ogos lalu.

Dengan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohimadin di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa diserang tertuduh secara tiba-tiba dengan sebilah parang. Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di pinggang dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda