Bocor maklumat perniagaan: Bekas pengarah didenda RM1 juta


shadow

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat pembekal makanan dihukum penjara sehari dan denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan memperoleh 891,000 unit saham syarikat pembekal makanan, Three-A Resources Berhad dan membocorkan maklumat secara sulit mengenai cadangan perniagaan syarikat itu, 10 tahun lepas.

Hakim Syed Faisal Syed Amir menjatuhkan hukuman itu ke atas Fong Chiew Hean, 83, selepas warga emas itu menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding perbicaraan peringkat membela diri.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara setahun sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Fong didakwa atas sembilan pertuduhan iaitu memperoleh 891,000 unit saham syarikat itu melalui akaun milik dua individu ketika mempunyai maklumat sulit yang boleh memberi kesan ke atas harga nilai saham iaitu membabitkan cadangan penggabungan antara dua syarikat, Three-A Resources Berhad dan Wilmar International Limited.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, antara September hingga Oktober 2009.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Izuddin Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad.- Bernama

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda