Cuba berdiri, namun tak berdaya…


shadow

“SELEPAS lif terhempas, saya cuba bangun untuk membantu yang lain, namun tidak mampu berdiri sebelum melihat kaki kiri terkulai tambahan ketika itu ramai mengerang kesakitan apabila kami bertindih sesama sendiri.”

Begitu kata Shmsul Nordin, 51, antara mangsa kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, yang menyebabkan lapan cedera.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia baru pulang dari solat Jumaat dan masuk ke dalam lif itu untuk ke rumahnya di tingkat lapan.

“Bagaimanapun sebaik tiba di tingkat lima, pintu lif terbuka dan secara tiba-tiba terhempas ke bawah.

“Ketika itu semua terpaku dan tidak bersuara, namun sebaik terhempas barulah suara jeritan mengerang kesakitan kedengaran, malah kami bergelap seketika,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Shmsul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia turut berasa sesak nafas ketika itu dan mujur penduduk dapat membuka pintu lif sebelum dia boleh bernafas dengan baik.

“Saya cuma mampu menarik nafas lega dan bersyukur masih hidup dan sedang menunggu keputusan ujian x-ray kaki sama ada patah, retak atau tidak.

“Lagipun saya baru selesai menjalani pembedahan di lutut kiri, baru-baru ini dan doktor memberitahu tisu leher turut terkoyak,” katanya.

Shmsul berkata, dia sedikit terkilan tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen anak sulungnya, Muhammad Shah Effendy, 26, yang tamat pengajian di Politeknik Dungun, Terengganu.

“Saya sepatutnya ke sana malam Ahad ini kerana majlis itu berlangsung keesokan harinya, namun apakan daya tidak dapat hadir kerana kejadian ini,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda