Dua beranak didakwa tipu lebih setengah juta


shadow

MELAKA TENGAH – Seorang penjual madu dan bapanya didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan menipu dan menerima wang membabitkan skim pelaburan tuisyen keluarga secara dalam talian yang tidak wujud berjumlah RM520,500 tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Koh Sing Yee, 30, dan Koh Pueh Lye, 54, mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan dan Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelima, dua beranak terbabit didakwa menerima deposit daripada lima individu berjumlah RM520,500 tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan keenam sehingga kesembilan, tertuduh didakwa memperdayakan empat daripada lima mangsa sama dengan menawarkan pelaburan tidak wujud hingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang tersebut di sekitar Melaka Tengah antara Oktober 2016 dan Ogos 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos dan Mazuin Hashim, manakala kedua-dua beranak itu diwakili Peguam Ishak Kari.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM170,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan dan turut menetapkan kes disebut semula 20 September ini.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda