Dua buruh maut dihempap konkrit


shadow

SHAH ALAM – Dua lelaki warga Indonesia maut selepas tersepit di celah runtuhan konkrit di sebuah tapak pembinaan longkang berhampiran Persiaran Electron Seksyen U16, Denai Alam di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu melalui talian Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Selangor pada jam 4.07 petang.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya menggerakkan jentera ke lokasi terlibat dan mendapati berlaku runtuhan dinding konkrit berkenaan serta melibatkan dua orang mangsa yang tersepit.

“Seorang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan patah tangan manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota penyelamat terpaksa memecahkan dinding konkrit berkenaan dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa terlibat.

Katanya, pihaknya mengambil masa 20 minit bagi memecahkan dinding konkrit yang menghempap mangsa.

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda