Gadis OKU hamil dirogol warga asing


shadow

GADIS lembam hamil didakwa dirogol beberapa kali oleh pekerja buruh binaan warga asing yang kerap menceroboh kediaman keluarganya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Menurut sumber, kejadian menimpa mangsa yang berusia 26 tahun hanya disedari bapanya berusia 58 tahun yang curiga selepas melihat perubahan bentuk tubuh badan anak sulungnya yang semakin gempal.

“Susulan itu, bapanya cuba bertanyakan secara baik dan memujuk mangsa supaya menceritakan mengenai individu yang bertanggungjawab terhadap kandungannya.

“Bagaimanapun, pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang pendiam itu enggan menceritakan mengenai kejadian.

“Jadi bapa mangsa terpaksa mengambil masa hampir seminggu memujuk agar menjelaskan perkara berlaku sehingga Selasa lalu anaknya memaklumkan dia dirogol lelaki warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan di tapak projek berhampiran rumah mereka,” katanya hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa buruh terbabit kerap menceroboh masuk ke biliknya melalui pintu belakang rumah selepas ahli keluarganya tidur.

Katanya, lelaki terbabit juga turut menunjukkan video seks kepada OKU terbabit sebelum merogol mangsa.

“Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terbabit beberapa kali terhadap mangsa sehingga dia mengandung.

“Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini pada hari sama.

“Bagaimanapun ketika membuat laporan polis mangsa masih tidak melakukan pemeriksaan di hospital dan pihak polis meminta ahli keluarga berbuat demikian bagi membuktikan mengenai kejadian dan untuk mengetahui usia kandungannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda