Guru rugi RM8,000 ditipu ‘Inspektor Samsul Anuar’


shadow

MIRI – Seorang guru di sini kerugian RM8,620 setelah diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai Inspektor Polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun, ditipu oleh lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Samsul Anuar’ yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah.

“Mangsa telah diperdaya suspek yang mendakwa butiran mangsa telah disalahgunakan pihak ketiga, untuk kes penyeludupan dadah dan penyelewangan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafa berkata, suspek mendakwa akan membantu mangsa dengan menguruskan kes dengan syarat mangsa memberi dokumen berkaitan perbankan termasuk nombor pin kad ATM milik mangsa.

“Mangsa turut diarahkan menghantar bahagian depan dan belakang kad kredit miliknya menerusi Whatapps untuk rujukan Bank Negara dan tidak dibenarkan membuat sebarang transaksi kewangan sehingga mendapat maklumbalas dari Bank Negara pada jam 5 petang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu setelah membuat semakan bank secara dalam talian mendapati wang berjumlah RM4,120 dalam akaun mangsa hilang, serta kad kredit telah digunakan individu lain dengan pembelian dalam talian berjumlah RM4,500.

Dalam kes kedua melibatkan sindiket Macau Scam di Miri, beliau berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun turut menjadi mangsa penipuan lelaki menyamar sebagai ‘Sarjan Kamaruddin’ dari Melaka.

Menurutnya, mangsa yang tidak bekerja didakwa memiliki tunggakan kad kredit berjumlah RM16,846.88 dan diminta membayar RM15,000 sebagai wang jaminan dalam tempoh diberikan.

“Suspek (Sarjan Kamaruddin) telah meminta nombor akaun mangsa serta kata laluan perbankan dalam talian mangsa dan mangsa menyedari ditipu setelah wang berjumlah RM1,720 dalam akaunnya dipindahkan ke akaun ketiga milik individu lain,” katanya.

Menurutnya kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis semalam.- Bernama

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda