Identiti mayat wanita disumbat dalam beg dikenal pasti


shadow

SHAH ALAM – Polis mengenal pasti identiti mayat seorang wanita yang disumbat dalam sebuah beg pakaian berwarna coklat dalam longkang di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 di sini pada Isnin lepas sebagai Tan Siew Mee.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata identiti mangsa berumur 52 tahun serta berasal dari Pokok Sena, Kedah itu diperoleh menerusi semakan cap jari Jabatan Pendaftaran Negara dan wanita tersebut bekerja sebagai pengurus restoran di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, dekat sini.

Beliau berkata, mangsa juga didapati menyewa di sebuah kondominium di Subang Jaya bersama suaminya berumur 79 tahun yang tidak bekerja.

“Laporan bedah siasat menunjukkan terdapat 13 kesan tikaman pada dada dan perut wanita berkenaan selain kesan kelaran pada lehernya dipercayai menggunakan senjata tajam. Punca kematiannya disebabkan oleh luka tikaman berganda di perut dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 72 jam semasa mayatnya ditemui pada Isnin.

“Sehingga hari ini, mayat mangsa yang berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang masih belum dituntut oleh warisnya,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Katanya, rakan mangsa, seorang wanita ada membuat satu laporan polis di Balai Polis USJ 8 pada Sabtu lepas mengenai kehilangan wanita itu susulan gagal menghubunginya sejak Jumaat malah cubaan rakan tersebut untuk mendapatkan suami mangsa juga tidak berjaya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati wanita itu bukan mangsa rompak kerana barang berharga miliknya masih ada bersamanya ketika mayatnya dijumpai.

Baharudin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan itu masih dijalankan.

Jelas beliau, polis kini sedang mengesan suami mangsa bernama Lim Ah Kee@Lim Kok Hoe atau dikenali sebagai William yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, ASP Mohamad Daniel Lee Abdullah di talian 03-55202222 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam kejadian pada Isnin lepas, mayat wanita dalam sebuah beg pakaian itu ditemui di lokasi tersebut oleh dua pekerja syarikat telekomunikasi yang sedang memeriksa kabel bawah tanah kira-kira pukul 5.30 pagi.- Bernama

Tinggalkan komen anda