Janda khalwat terima padah


shadow

JANDA anak dua yang dicekup tanpa pakaian bersama kekasihnya dalam bilik di sebuah motel pada 20 April lalu diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Marang hari ini, ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam di Selangor selama enam bulan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas tertuduh yang berusia 27 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Pasangannya yang berusia 28 tahun dan masih bujang pula dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2,500 dan tiga bulan penjara atau tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka ditahan di sebuah motel di Marang pada 3.40 pagi pada 20 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, satu serbuan berwaran dijalankan anggota penguat kuasa syariah di motel terbabit.

Sebaik tiba di hadapan bilik itu, didapati pintu tertutup rapat dan berkunci dari dalam menyebabkan anggota penguat kuasa bertindak mengetuk sambil memberi salam beberapa kali.

Selepas pintu itu dibuka dan anggota memperkenalkan diri kepada tertuduh lelaki sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat seorang wanita berada di dalam bilik air tanpa pakaian.

Anggota meminta tertuduh wanita memakai baju dan keluar untuk pemeriksaan dan soal siasat mendapati dua tertuduh bukan suami isteri atau mahram.

-myMetro

Tinggalkan komen anda