Lelaki mengaku belasah isteri, anak


shadow

KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana sengaja menyebabkan kecederaan kepada isteri dan anak lelakinya.

Ahmad Norhisham Kamaruddin, 40, dari Jalan Pasir Panjang, di sini, mengaku salah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Syarifah Rohani Syed Ahmad, 43, di rumah di Jalan Pasir Panjang di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 23 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada anak lelakinya, Amirul Iman Ahmad Norhisham, 19, di lokasi, waktu dan hari sama.

Tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum.

Sementara itu, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 bersama seorang penjamin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki tergamak membelasah isteri dan anak lelakinya hanya kerana tidak berpuas hati selepas mendapati telefon bimbitnya diusik.

Lelaki itu bertindak menendang pinggang isterinya hingga rebah dan turut membelasah selain menggigit badan anak lelakinya yang ingin menyelamatkan ibunya.

-SInar Harian

Tinggalkan komen anda