Letup mesin ATM, larikan RM270,000


shadow

TANJUNG MALIM – Tiga suspek lelaki dipercayai terlibat meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kesemua mereka dipercayai berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM270,000 dalam insiden sekitar jam 6.30 pagi itu.

“Pada jam 6.45 pagi anggota polis bertugas di Balai Polis Tanjung Malim menerima panggilan telefon daripada pihak Security Alarm Ambank Ibu Pejabat Kuala Lumpur menyatakan penggera Ambank Pekan Tanjung Malim telah berbunyi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, anggota bertugas telah bergegas ke lokasi kejadian dan hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati bank tersebut merupakan teres dua tingkat di bahagian hujung deretan kedai.

“Seorang saksi lelaki yang tinggal di hadapan Ambank mengatakan terdengar bunyi letupan sekitar jam 6.30 pagi dan melihat dari arah tingkap rumahnya di tingkat satu.

Keadaan di luar premis mesin ATM yang diletupkan awal pagi tadi.
“Dia melihat tiga orang lelaki tidak dikenal pasti bangsanya keluar masuk ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta berwarna merah yang tidak dipastikan jenis serta nombor pendaftarannya,” katanya.

Menurut Wan Kamarul, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati dua lelaki bertopeng telah memasuki bank tersebut melalui pintu hadapan sebelum bertindak keluar dan meletupkan mesin ATM.

“Rakaman CCTV kejadian berjaya dirakam dan spesimen akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Jabatan Forensik untuk tindakan lanjut.

“Kita juga telah mengambil rajah kasar serta gambar lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda