Mayat remaja lelaki lemas ditemukan pagi ini


shadow

ALOR SETAR – Mayat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas petang semalam ketika mandi-manda bersama seorang rakannya di sungai belakang Istana Anak Bukit di Kampung Seberang Chegar, Jalan Anak Bukit di sini ditemukan pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menjumpai mayat Muhammad Shukri Amri Kadir, 19, pada jam 9.57 pagi, lebih kurang 20 meter dari tempat mangsa mandi.

“Masa mandi kaki mangsa kekejangan dan terus lemas…pasukan PPDA (Pasukan Penyelamat Di Air) membuat penyelaman dan telah menjumpai mangsa di dasar sungai. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seramai 21 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa itu dengan 12 daripadanya merupakan anggota unit PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra serta BBP Sungai Petani.

Semalam, media melaporkan pihak bomba mendapat panggilan berhubung kejadian menimpa Muhammad Shukri Amri itu pada 2.42 petang. – Bernama

Tinggalkan komen anda