Mengaku tak salah minta, terima rasuah RM2,000


shadow

KUALA LUMPUR – Setiausaha Koperasi Pekerja-Pekerja IMG Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Berhad (KOPDBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan meminta dan memperoleh suapan RM2,000 berhubung wang simpanan koperasi milik seorang pekerja DBKL, dua tahun lepas.

M.Moorthi,59, didakwa secara rasuah meminta dan memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2,000 daripada Hussainar Saidali,61, sebagai dorongan bagi melepaskan kesemua wang simpanan koperasi milik Hussainar.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah kuil di Jalan Robson,Taman Persiaran Desa di sini pukul 1 petang pada 7 Jun 2017.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan seorang penjamin dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam S.Narasimhan memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 23 September ini.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda