Pura-pura alim, tetapi..


shadow

LAGAK seorang lelaki yang kononnya alim ke surau menunaikan solat di beberapa masjid sekitar daerah ini hanya helah apabila kegiatannya mencuri duit tabung terbongkar.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kegiatan lelaki berusia 45 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur, terbongkar apabila pihaknya menerima laporan Jawatankuasa Masjid al-Hidayah Kampung Chabau, Jasin, selepas wang dalam dua tabung di masjid itu hilang.

“Dua laporan dibuat pihak masjid iaitu pada 15 Julai membabitkan wang kira-kira RM3,000 daripada tabung derma manakala keesokannya, kira-kira RM2,500 daripada tabung Palestin turut lesap.

“Hasil kerjasama kariah, didapati seorang lelaki asing iaitu suspek dilihat ke masjid untuk bersolat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.

Arshad berkata, siasatan dilakukan kemudian membawa kepada tangkapan suspek yang menyewa di sebuah rumah di Kesang.

“Suspek ditahan pada 17 Julai lalu, kira-kira jam 8 malam dan turut dirampas alatan digunakan untuk memecah tabung serta sebuah motosikal.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kira-kira 14 kes pecah tabung masjid dan surau sekitar Selandar, Kemendor, Chabau, Kesang serta Nyalas.

“Difahamkan, dia aktif melakukan kegiatan ini sejak akhir tahun lalu sehingga Julai sebelum tertangkap,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau turut mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Suspek kini masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda