Sindiket jadikan kondominium tempat bungkus dadah


shadow

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan dua sindiket yang licik beroperasi dengan menjadikan kondominium sebagai tempat pembungkusan dadah bernilai lebih setengah juta ringgit.

Hasil maklumat dan risikan, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Kasipillay Sentul, di sini pada kira-kira jam 1 petang Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, serbuan itu, seramai empat lelaki tempatan berusia 27 hingga 33 tahun berjaya ditahan berserta rampasan sepucuk pistol bearing, satu kelopak, sehelai vest berlambang polis serta wang tunai.

“Pemeriksaan turut menjumpai 53 paket berisi dadah ketamin, ekstasi (360 biji), pil yaba (220 biji), serbuk MDMA (enam paket), eramin 5 (10 biji) dan sepaket ganja yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM150,380.

“Kesemua suspek ini kini direman lima hari sehingga esok dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89(a) Akta Polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Dalam kes berlainan, polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket dadah dengan tertangkapnya tujuh lelaki berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun serta rampasan dadah bernilai RM372,330 dalam serbuan berasingan pada Sabtu lalu.

Katanya, serbuan pertama pada jam 7.30 petang di hadapan pusat beli-belah di Jalan Kepong, Kuala Lumpur berjaya tahan lima suspek dan merampas empat paket dadah heroin dan 5,000 biji pil eramin 5.

“Susulan itu, soal siasat membawa serbuan ke sebuah kondominium di Jalan Kuching, Kuala Lumpur dan menahan dua lagi suspek.

“Pemeriksaan di kondominium terbabit menemui dua blok heroin base, heroin (2 paket), methamphetamine (73 paket), eramin 5 (1,700 biji) dan ekstasi (161 biji),” katanya.

Mengulas lanjut, siasatan mendapati kedua-dua sindiket terbabit telah aktif sejak tiga hingga lima bulan lalu di sekitar Sentul dan Lembah Klang.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi sindiket ini.

Bagaimanapun, pihaknya percaya sindiket ini menjadikan kondominium sebagai tempat pemprosesan dadah sebelum diedarkan di sekitar daerah Sentul dan Lembah Klang.

“Kita akan teruskan usaha dalam membasmi masalah dadah khususnya di daerah Sentul. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau IPD Sentul di talian 03-404822222 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda