Sindiket judi online antarabangsa digempur


shadow

KAJANG – Polis menyerbu kediaman dua tingkat di Vista Mas Batu 9, Cheras, di sini dan membongkar kegiatan sindiket perjudian online antarabangsa.

Operasi hasil maklumat dan risikan itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pemeriksaan mendapati sekumpulan lelaki dan perempuan dipercayai warganegara asing sedang sibuk menjalankan urus niaga judi online dengan menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Pemeriksaan lanjut telah menahan seramai 35 warga China termasuk enam wanita berumur lingkungan 19 hingga 60 tahun.

“Semakan mendapati kesemua tangkapan masuk ke dalam negara dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah atas pas lawatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara warga China yang ditahan dalam operasi judi online di Vista Mas Batu 9, Cheras, semalam.
Ahmad Dzaffir berkata, polis telah merampas 25 unit komputer riba, 12 unit telefon bimbit serta dua unit modem pelayaran internet.

Katanya, pihaknya percaya sindiket ini terlibat dalam menganjur perjudian online di China dan Kanada.

“Kesemua suspek yang ditahan akan direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(C),(D) dan (E) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Tegasnya, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian online dan lain-lain aktiviti seumpamanya untuk melaporkan dan menyalurkan maklumat kepada polis atau mana-mana balai yang terdekat.

“Kerjasama orang ramai akan membantu kita dalam membasmi kegiatan ini secara total serta mendokong hasrat kerajaan dan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda