Warga emas didakwa tipu cek


shadow

SUAMI isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tiga pertuduhan melakukan penipuan cek membabitkan jumlah RM126,000, lapan tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat R Munandy, 65, dan isterinya S Kanagarani, 61, sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa menipu S Letchumanan, 72, dengan memberinya tiga keping cek masing-masing RM21,000; RM31,500 dan RM73,500 untuk membuat pembayaran balik hutang.

Bagaimanapun, cek berkenaan tidak dapat ditunaikan selepas disekat bank kerana akaun tertuduh tidak mempunyai wang.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Kaya, Jalan Labu, Seremban 12 tengah hari pada 30 November 2011.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes 24 September ini.

-myMetro

Tinggalkan komen anda