Buruh didakwa tetak bapa, tumbuk kakak


shadow

KUALA KANGSAR: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menetak bapa kandungnya dengan parang serta menumbuk kakak kandungnya hingga cedera pada Ahad lalu.

J Suresh, 36, atau nama mualafnya Muhammad Khairul Abdullah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bapanya K Jeyaraman, 61, dengan menggunakan parang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan.

Pertuduhan kedua, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kakaknya, J Premma, 38, dengan menumbuknya dan didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah di Taman Muhibbah Jaya, Sungai Siput Utara kira-kira jam 12 tengah hari 27 Oktober lalu.

Suresh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Rohaida membenarkan jaminan RM8,000 dengan dua orang penjamin serta dikenakan syarat tambahan tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa manakala kes disebut semula 13 November ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Dalam rayuannya, Suresh meminta mahkamah membenarkan jaminan kerana mempunyai dua anak berusia tiga dan tujuh tahun dengan anak sulung adalah dalam jagaannya di Sungai Siput, manakala anak bongsu bersama isterinya di Terengganu.

Tinggalkan komen anda