Pegawai polis didakwa gertak doktor


shadow

IPOH: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang doktor di tepi Jalan Leboh 4 Kampung Simee, di sini pada Januari lalu.

Tertuduh, Khairul Nizam Ismail, 49, yang bertugas sebagai Ketua Balai Polis Sungai Senam, di sini didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Dr Gurvinder Singh Sandhu Gurmukh Singh, 34, pada kira-kira jam 5.45 petang 14 Januari lalu.

Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mengetahui bahawa kekerasan itu akan menyebabkan atau kegusaran kepada individu terbabit dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 352 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Khairul Nizam mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan itu di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Nabihah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 November ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam Tun Mohamad Ammar Aziz.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh, manakala tertuduh memohon jumlah wang jaminan dikurangkan kerana menanggung lapan anak dan sudah 29 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 18 Januari lalu, seorang pegawai polis yang berkhidmat sebagai ketua sebuah balai polis di Ipoh, Perak disiasat atas dakwaan melakukan ugutan jenayah terhadap pasangan suami isteri di Kampung Simee.

Pegawai polis terbabit didakwa mencekak leher baju lelaki berkenaan yang juga seorang doktor, selain cuba memukul isteri lelaki terbabit yang juga seorang peguam, malah kejadian itu turut dirakam mangsa menggunakan telefon bimbit.

Kejadian dikatakan berlaku jam 5.45 petang ketika suami isteri berkenaan sedang berjalan di kawasan taman perumahan di Kampung Simee sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Honda City dipercayai dipandu secara merbahaya hingga hampir melanggar pasangan terbabit.

Tinggalkan komen anda