Enam penjaga disiasat biar anak main basikal lajak


shadow

ENAM penjaga ditahan polis selepas anak mereka terbabit aktiviti basikal lajak di Taman Kosas, Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, bagaimanapun mereka dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Menurutnya, penjaga yang ditahan itu daripada pelbagai latar belakang antaranya, pengawal keselamatan, peniaga dan penyelia hotel.

“Mereka ditahan kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan dan disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Noor Azmi berkata, enam remaja berusia 11 hingga 16 tahun ditahan ketika menunggang basikal lajak di jalan raya pada 8.51 malam sebelum dibawa ke Balai Polis Trafik Pandan Indah.

“Mereka kemudian dikenakan saman dan dilepaskan kepada penjaga masing-masing, sementara basikal itu disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan 1987.

“Malah dua daripada remaja itu yang berusia 15 dan 16 tahun itu didapati tidak bersekolah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

-myMetro

Tinggalkan komen anda