Guru tak mengaku amang seksual 2 murid lelaki


shadow

MELAKA TENGAH – Seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di Klang, Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal yang bertentangan dengan aturan seks tabii terhadap dua murid lelaki berusia 11 tahun, empat tahun lalu.

Ahmad Muzamil Pandak, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh oleh jurubahasa mahkamah.

Terdahulu, guru yang mengajar subjek pendidikan jasmani dan kesihatan (PJK) dilihat tenang berdiri dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau dengan menghisap kemaluan kedua-dua mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah inap desa di Taman Tasik Utama, Ayer keroh, antara jam 2 hingga 3 pagi, 24 Oktober 2015 lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, tertuduh turut melakukan tindakan sama terhadap kedua-dua mangsa di inap desa sama, antara jam 2 hingga 3 pagi, 25 Oktober tahun 2015 lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari dua puluh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya Mazuin Hashim mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kedua-dua mangsa merupakan pelajar kepada tertuduh.

Ahmad Muzamil yang diwakili peguam Muhammad al-Hirzan Mahamad Akhir merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh pernah didakwa atas kes sama dan baharu sahaja memulakan tugas mengajar pada awal November lalu selepas digantung kerja.

Hakim Norma Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain tidak dibenarkan mendekati mangsa mahupun keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda