Identiti mangsa rentung dikenal pasti


shadow

IDENTITI lelaki rentung selepas kereta dinaiki terbakar di Jalan Tembaga 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, hari ini, dikenali sebagai Rohaizal Rahmat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 39 tahun beralamat di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.

“Mangsa yang juga peniaga mengalami kecederaan dengan terbakar keseluruhan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis IPD Seri Alam menerima maklumat menyatakan satu kemalangan maut jalan raya berlaku di Jalan Pekeliling Pasir Gudang pada 3.45 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 3.40 pagi di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang ketika mangsa sedang memandu kenderaan terbabit seorang diri.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Seri Alam menghala ke Kampung Pasir Putih,” katanya.

Katanya, sejurus tiba di tempat kejadian, dipercayai kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas melanggar sebatang pokok yang berada di tengah-tengah pembahagi jalan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, kenderaan dipandu mangsa terbakar dan mangsa yang tidak sempat keluar turut terbakar sama,” katanya.

Katanya, dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, mayat mangsa dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis memohon saksi bebas yang melihat kejadian tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Terdahulu lelaki rentung selepas kereta dinaiki terbakar di Jalan Tembaga 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dekat Johor Bahru, hari ini.

Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, kejadian 3.30 pagi itu ketika kenderaan dinaiki mangsa dipercayai dari arah Lebuhraya Pasir Gudang lama menghala ke Kampung Pasir Putih.

Katanya, sebuah jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian.

-myMetro

Tinggalkan komen anda