Pegawai kanan polis dilepas dengan jaminan SPRM


shadow

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 November lalu dilepaskan dengan jaminan suruhanjaya itu semalam.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan berkata, pegawai berusia 40-an itu dilepaskan selepas tempoh reman selama enam hari berakhir.

Menurutnya, hasil siasatan setakat ini mendapati hanya pegawai itu sahaja yang terbabit, melibatkan mangsa yang juga orang awam.

“Kita masih meneruskan siasatan sebelum kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi SPRM Terengganu Bersama Rakan Strategik dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Negeri Terengganu 2019 di Kompleks SPRM, di sini malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan pegawai kanan polis Terengganu

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pegawai kanan polis ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan bernilai RM80,000.

Pegawai itu ditahan di pejabat SPRM Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kes rasuah membabitkan penjawat awam di Terengganu masih terkawal.

“Kes rasuah membabitkan penjawat awam termasuk yang membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perhutanan kini menurun.

“Sebelum ini, kita memberi lebih tumpuan penguatkuasaan terhadap isu rasuah berkaitan alam sekitar dan maritim kerana pelakuan rasuah menyebabkan negara kehilangan aset bernilai jutaan ringgit.

“Berdasarkan statistik tahun ini, ada pengurangan dan siasatan kita sekarang lebih kepada perolehan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11C atau Seksyen 23 Akta SPRM 2019 dan bukannya meminta atau menerima rasuah,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda