Pelajar cuba noda budak 12 tahun dikenakan bon


shadow

PELAJAR tingkatan dua dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah cuba merogol budak perempuan berusia 12 tahun, Ogos lalu.

Selain itu, tertuduh berusia 14 tahun turut dikenakan syarat tambahan supaya berada di rumah bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dan menghadiri Bengkel Interaktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain perlu bersama ibu bapa sekiranya ingin keluar rumah.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja cuba merogol mangsa di sebuah rumah di Kuala Ibai jam 4.45 pagi, 21 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375/511 Kanun Keseksaan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Pada 25 Ogos lalu, portal berita Harian Metro melaporkan budak perempuan berusia 12 tahun berdepan detik hitam apabila dicabul dan cuba dirogol rakannya.

Kejadian berlaku apabila mangsa ke rumah bapanya bersama tiga rakan lelaki, kira-kira jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, apabila tiba mangsa mendapati ayahnya tiada di rumah sebelum mereka memecahkan kunci untuk masuk ke rumah.

Ketika berada di rumah, mangsa cuba dirogol salah seorang rakannya di kediaman itu.

-myMetro

Tinggalkan komen anda