Pembuli wanita mengandung direman


shadow

LELAKI yang didakwa membuli pemandu wanita mengandung di Jalan Johor Jaya berhampiran pasar raya besar di Plentong direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah berkata, suspek direman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 509 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kes akan disiasat secara teliti dan berharap orang ramai memberikan ruang kepada polis menjalankan siasatan.

Pada masa sama, katanya, saksi kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 8.30 pagi Jumaat lalu, lelaki berkenaan dikatakan memintas kereta mangsa yang mengandung tujuh bulan sebelum menengking, mengambil gambar dan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

Berdasarkan rakaman video tular di Facebook (FB) sejak semalam itu, perbuatan lelaki berkenaan menyebabkan mangsa yang berusia 26 tahun menangis ketakutan.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada 9.41 pagi pada yang hari sama.

Bertindak atas laporan polis yang dibuat itu, sepasukan polis menjalankan siasatan termasuk meneliti kenderaan digunakan sebelum menahan lelaki berusia 27 tahun itu di sekitar Permas Jaya pada 12 tengah hari semalam.

-myMetro

Tinggalkan komen anda