Warga emas rentung: Suspek adalah mangsa


shadow

KES membabitkan kematian pasangan warga emas yang rentung dalam kebakaran di apartmen di Taman Meru Impiana, Ipoh, Ahad lalu, dianggap selesai selepas siasatan mendapati suspek utamanya adalah mangsa lelaki dalam kes itu.

Namun, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti motif dan punca sebenar kejadian sehingga lelaki berusia lingkungan 70-an itu bertindak demikian.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan tiada individu lain memasuki unit apartment berkenaan selain daripada lelaki berkenaan.

“Suspek dalam kes ini masih disyaki suaminya (mangsa lelaki) kerana tiada orang lain yang masuk (rumah). Walaupun kes dianggap selesai, namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui motif kejadian.

“Rakaman CCTV yang dilihat menunjukkan tiada menunjukkan sesiapa kecuali lelaki itu,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, hari ini.

Muka depan Harian Metro kelmarin, melaporkan pasangan suami isteri dikenali sebagai Kamal Mustafa dan Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an ditemui maut dalam kebakaran di unit apartmen berkenaan.

Dalam kejadian 3.30 pagi, Kamal yang juga warga Mesir dan isterinya warga tempatan ditemui masing-masing dalam keadaan rentung di ruang tamu serta hadapan bilik air.

Namun, menjadi tanya apabila penelitian CCTV mendapati Kamal keluar dan membawa pulang dua tong dipercayai berisi bahan bakar, manakala kenderaannya ditemui hangus 500 meter dari apartmen berkenaan.

Hasil bedah siasat pula mengesahkan terdapat kesan tikaman pada rusuk kiri mayat wanita manakala kesan sama di dada mangsa lelaki sebelum kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda