Dua warga Myanmar didakwa bunuh rakan sekerja


shadow

KUANTAN – Dua buruh warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekerja dua bulan lalu.

Tertuduh, Hamid Husin Mohd Husin, 31, dan Mohd Karim Hosain, 25, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nordiana Ab aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat secara bersama membunuh rakan senegara, Abdul Kader, 40, di kawasan tali air Kampung Padang Lalang Cherating, Kuantan.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu antara jam 7 hingga 8 malam pada 30 Oktober lalu dengan cara menjerut mangsa dengan baju lengan panjang milik mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tuan Muhammad Muhairi Mohamed Noh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh dan 13 Februari tahun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda