Suami temui isteri tidak bernyawa di tali air


shadow

TUMPAT: Kebimbangan seorang suami selepas mendapati isterinya tidak pulang semalaman terjawab dengan penemuan mayat wanita itu terapung di tali air di Kampung Mesira Kepulau di sini, petang tadi.

Mayat Che Arimah Mat Nor, 55, ditemui suaminya, Mohd Rosli Musa, 57, kira-kira jam 4.45 petang selepas isterinya yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis tidak pulang ke rumah sejak malam tadi.

Mohd Rosli ketika dihubungi berkata, isterinya keluar rumah pada jam 8.30 malam selepas berasa kurang sihat.

“Dia mengadu tekanan darahnya naik dan ketika itu saya di dapur sebelum masuk mandi.

“Selepas membersihkan diri, saya dapati isteri tiada di bilik. Saya cuba mencarinya di rumah tetapi tiada manakala telefon bimbitnya berdering di bilik.

“Saya menunggu beberapa jam kerana dia kerap keluar mengambil angin di luar dan pada masa sama, menghubungi ahli keluarga sama ada mereka tahu ke mana isteri saya pergi,” katanya.

Mohd Rosli berkata, pencarian isterinya disambung hari ini sebelum melihat objek timbul di tali air beberapa meter dari rumahnya dan mendapati ia adalah mayat isterinya.

Beliau tidak menolak kemungkinan isterinya terkena serangan jantung ketika turun dari tangga malam tadi dan tergelincir ke dalam tali air.

“Walaupun sangat sedih dengan cara arwah pergi, tapi saya reda dengan takdir ini,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat manakala jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak.

Tinggalkan komen anda