‘Arwah penyayang, suka ambil berat’


shadow

SUASANA suram menyelubungi rumah keluarga Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang, Banting, yang maut dilanggar lari pagi hari ini.

Bapanya, Zaidi Zainal Abidin, 43, ketika ditemui di Kampung Olak Lempit di Banting tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika berkongsi mengenai keperibadian anak sulung kesayangannya itu.

Menurutnya, sifat penyayang dan ambil berat yang ditunjukkan oleh arwah anaknya itu sangat menyentuh hati mereka sekeluarga.

“Arwah rapat dengan saya dan isteri (Suzana Taslim, 36), dia sangat rajin, suka menolong saya dan isteri buat kerja.

“Memang kami sangat rapat, dia pula suka tolong menjaga adik-adiknya yang lain, bergurau dan mengusik mereka,” katanya juga pekerja kilang.

Zaidi berkata, melintas jalan di lokasi kejadian adalah rutin harian dilakukan anaknya setiap kali pergi dan pulang dari sekolah.

“Seperti biasa, dia akan ke sekolah menaiki basikal dan akan tinggalkan basikal di perkarangan Klinik Desa Olak Lempit, kemudian melintas jalan untuk menaiki bas ke sekolah.

“Setiap kali berada di lampu isyarat di situ, dia akan tekan butang, bila lampu hijau untuk pejalan kaki menyala, baru dia melintas.

“Dia sekolah petang, tapi hari ini dia ke sekolah kerana menghadiri aktiviti sukan. Dia memang aktif aktiviti sebegini, lumba lari, merentas desa dan hoki,” katanya.

Katanya, luluh hatinya apabila mendapat tahu berita sedih itu pagi tadi.

“Arwah anak yang baik, dia pergi.. Allah lebih sayangkan dia. Saya dan isteri reda dengan pemergiannya,” katanya dalam keadaan sedih dan menitiskan air mata.

Jenazah anaknya akan disolatkan di rumah mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Olak Lempit.

Selain saudara mara dan jiran tetangga, guru serta rakan sekolah turut hadir menziarahi jenazah buat kali terakhir.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

“Siasatan mendapati mangsa memakai pakaian sekolah manakala rakannya memakai pakaian sukan menuju ke SMK Bukit Canggang.

“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang melintas jalan di lampu hijau untuk ke perhentian bas bagi menunggu bas ke sekolah sebelum dilanggar kereta yang tidak dapat dikenal pasti dan kemudian melarikan diri,” katanya.

Azman berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya patah tangan kanan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda