Mohon maaf lepas tikam anak jiran


shadow

SUNGAI PETANI: Suspek kes tikam budak perempuan berusia lima tahun hingga parah dalam kejadian di Kampung Keda Che Bema dekat Sungai Layar di sini semalam, memohon maaf pada keluarga mangsa, kira-kira lima minit selepas serangan itu.

Kakak mangsa, Siti Khalijah Zulkefeli, 20, berkata mereka sekeluarga tergamam apabila melihat suspek yang juga jiran mereka masuk ke dalam rumah secara tiba-tiba dan menikam Nur Adawiyah Safiyya, 5 sebelum melarikan diri.

“Namun, tidak sampai lima minit, dia datang semula dan memohon maaf kepada kami, dakwanya dia tidak sedar apa yang dilakukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Khalijah berkata, ketika kejadian, adiknya baru pulang dari tadika dan sedang tidur bersama ahli keluarga yang lain di ruang tamu rumah.

Khalijah yang ketika itu turut berada di ruang tamu ada terdengar bunyi pagar kayu pintu dapur rumah mereka seperti dilanggar seseorang namun tidak melihat ke arah pintu dapur itu kerana menyangka rakan adik-adiknya datang ke rumah untuk ajak bermain.

“Beberapa minit lepas bunyi pagar kayu dilanggar saya nampak dia (suspek) melutut tepi adik dan terus menikam perut adik dengan pisau.

“Ketika itu, mak terus menyergahnya membuatkan dia terkejut dan melarikan diri melalui pintu dapur,” katanya.

Khalijah berkata, ibunya, Juliana Shafie, 41, pengsan apabila melihat keadaan adik bongsunya itu, dia segera membawa adiknya itu ke hospital dengan bantuan jiran.

“Waktu dalam rumah, perut adik tak berdarah sangat, namun bila masuk dalam kereta saya nampak banyak darah keluar dari tempat tikaman itu dan ususnya juga sudah kelihatan,” katanya.

Khalijah berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka lelaki berusia 27 tahun yang begitu rapat dengan mereka sanggup melakukan perkara sedemikian.

“Hubungan kami sangat rapat dari dulu dan dia sering belanja kami sekeluarga makan.

“Dia juga baru sahaja lima hari pulang dari Singapura kerana bekerja di sana sebagai pembantu kedai makan,” katanya.

Katanya, adiknya yang kini sedang dirawat Hospital Sultan Abdul Halim dan dilaporkan stabil tetapi masih dalam keadaan lemah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Mohammad Alif Abdul Aziz di Mahkamah Sungai Petani, pagi tadi.

BH hari ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun parah di perut, selepas ditikam jirannya dalam kejadian di Kampung Keda Che Bema, Sungai Layar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, suspek berusia 27 tahun itu dikatakan memasuki rumah mangsa sebelum menikam mangsa yang ketika itu sedang berbaring di ruang tamu rumahnya.

Tinggalkan komen anda