Permohonan ikat jamin Adun terlibat kes LTTE didengar 16 Januari


shadow

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 16 Januari untuk mendengar permohonan jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaren atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, Oktober tahun lepas.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Harshan Zamani yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan tersebut pada 26 Disember lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias memberitahu pemberita pihaknya akan memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu pada 10 Januari.

Mahkamah Sesyen sebelum ini membenarkan kes Gunasekaren dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

Pada 18 Disember lepas, Gunasekaren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Dap Guna Palanisamy’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, kira-kira 2 petang, 7 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan. 

Tinggalkan komen anda