COVID-19 : Doktor perubatan korban ke-9


shadow

KUALA LUMPUR – Doktor perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maut mencatatkan kematian kesembilan berkaitan wabak COVID-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata, ia merupakan kes kematian pertama melibatkan kakitangan kesihatan.

“Beliau seorang lelaki warganegara Malaysia merupakan kes ke-890 yang berusia 48 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Turki.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom jangkitan pernafasan akut yang teruk ( Severe Acute Respiratory Infection ),” katanya menerusi akaun Facebook.

Menurutnya, mangsa telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 10.33 pagi, 22 Mac 2020.

“Kes jangkitan COVID-19 tersebut disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan atau frontliners mahupun daripada kalangan rakan kerja yang berhadapan dengan pesakit COVID-19. Ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara,” ujarnya.

Seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.

Tinggalkan komen anda